Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

18,049 PATI diusir dari Sabah tahun lalu menerusi 330 operasi di kawasan Esszone

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. - foto Jimmy Tan
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. – foto Jimmy Tan

KOTA KINABALU – Media sosial diingatkan supaya tidak memutarbelitkan keikhlasan kerajaan negeri dan Pusat dalam mengambil tindakan sewajarnya bagi menangani pelbagai isu berkaitan PATI yang dihadapi selama ini.

Menegaskan perkara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Zahid Hamidi, sebaliknya meminta media sosial untuk membantu dalam memperjelaskan isu dan tindakan komited kerajaan menyelesaikan masalah PATI kepada orang ramai.

“Kami berharap media sosial membantu… bukan menyerang kami kerana apa yang kami (kerajaan negeri dan Pusat) lakukan adalah untuk kepentingan bersama,” katanya dalam sidang media selepas Mempengerusi Mesyuarat Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing di Sabah, bersama Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman, di Wisma Innoprise, Likas, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jalaludin Abdul Rahman.

Ia merupakan mesyuarat pertama Jawatankuasa Induk berkenaan bagi membincangkan Terma Rujukan dan keanggotaan bagi Jawatankuasa Pengurusan Warga Asing di Sabah yang dipersetujui oleh Jemaah Menteri Pusat yang bermesyuarat pada 28 Januari lalu.

Menurut Zahid, mesyuarat kali ini memperlihatkan keseriusan operasi pengusiran pendatang tanpa izin di Sabah yang dijalankan oleh pelbagai agensi penguatkuasaan secara berterusan dan berpanjangan.

Jelas beliau, kerajaan Pusat gembira dan berterima kasih dengan kepimpinan Musa di atas komitmen beliau termasuk dalam melontarkan pandangan dalam mesyuarat pertama Jawatankuasa Induk RCI di Kota Kinabalu, Sabah.

“Hari ini kita telah melaksanakan apa yang diarahkan oleh Jemaah Menteri Pusat yang bermesyuarat pada 28 januari lalu, di mana terma-terma rujukan jawatankuasa induk dan teknikal telah disahkan dan kini kami diperingkat untuk melaksanakan terma rujukan berkenaan.

“Pagi tadi (saya juga) berkesempatan bertemu dengan Tan Sri Joseph Pairin Kitingan yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Teknikal dan kami telah menggarispandukan beberapa terma rujukan dan tindakan-tindakan yang akan dilakukan bagi penyaluran kepada semua usul yang dikemukan oleh Jawatankuasa Teknikal untuk dibawa ke Jawatankuasa Induk,” ujarnya.

Disamping itu, katanya Kabinet juga telah membincangkan mengenai cadangan agar ahli-ahli politik dan badan bukan kerajaan (NGO) turut dilibatkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Induk dan Teknikal secara berkala bagi memperolehi input dan maklum balas mengenai perkara berbangkit dalam isu PATI di Sabah.

Zahid berkata, sepanjang tahun lalu aktiviti penguatkuasaan yang melibatkan operasi dan pengusiran yang diketuai oleh Jabatan Imigresen ditumpukan di seluruh negeri ini.

Katanya, sebanyak 330 operasi pada 2014 dijalankan dan seramai 18,049 PATI serta mereka yang melanggar syarat imigresen seperti tinggal lebih tempoh telah diusir menerusi penghantara melalui udara dan laut.

Daripada jumlah itu, katanya, warga Filipina adalah seramai 14,098 orang, Indonesia (3,751) dan selebihnya adalah dari lain-lain negara seperti Pakistan, Turki, China, Vietnam, India, Uzbekistan, Nepal dan Thailand.

Giat kerja bagi membanteras kumpulan PATI ini dipergiatkan pada tahun ini dan sepanjang tempoh Januari 2015, sebanyak 132 operasi bersepadu di seluruh Sabah dijalankan melalui Esscom.

Bagi pelaksanaan operasi awal, Zahid berkata, sebanyak lima operasi bersepadu melibatkan pelbagai agensi dilaksanakan dan sejumlah 1,334  orang telah diperiksa manakala 560 lagi direman dan pada tempoh sama, sejumlah 1,987 telah diusir pulang ke negara asal.

Dalam perkembangan sama, beliau menambah perbincangan Jawatankuasa Induk RCI itu turut menyentuh soal bagaimana Pusat Tahanan Sementara (PTS) harus diwujudkan bagi menempatkan PATI yang ditahan. – oleh Sitti Nor Azizah Talata / SayangSabah

Komen


Berita Berkaitan