Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

1,800 masyarakat Palau’u terlibat kajian profiling

Ruji (tengah) semasa mempengerusikan taklimat kajian profiling masyarakat pala'u di pejabat daerah Semporna.
Ruji (tengah) semasa mempengerusikan taklimat kajian profiling masyarakat pala’u di pejabat daerah Semporna.

SEMPORNA – Seramai 1,800 keluarga dijangka terlibat dalam kajian profiling masyarakat Palau’u fasa kedua bermula 4 Ogos ini yang akan dilaksanakan empat hari bagi mengenalpasti jumlah sebenar masyarakat Palau’u yang tinggal di kawasan pulau dan Terumbu Simbangkat, Semporna.

Ketua Pegawai Eksekutif Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), Ruji Ubi berkata, kajian itu akan dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan negeri dan Persekutuan termasuk Jabatan Perangkaan, Pejabat Daerah Semporna, Jabatan Ketua Menteri, Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran, Taman-taman Sabah, Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Jabatan Kesihatan.

“Melalui data yang diberikan oleh Taman-taman Sabah, terdapat kira-kira 273 buah rumah di kawasan berkenaan iaitu masing-masing 257 rumah di Terumbu Sibangkat dan 16 rumah di Pulau Sibangkat yang majoritinya didiami oleh komuniti berbangsa Suluk dan selebihnya dihuni oleh Pala’u yang terlibat dalam proses pembancian ini,” katanya selepas mendengar taklimat persediaan bancian itu di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian semasa mempengerusikan taklimat kajian profiling masyarakat pala’u di pejabat daerah Semporna yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah, Dr. Chaco Bullah yang turut dihadiri oleh Pengarah Tindakan Awam Esscom, Rohiman Rahia.

Jelasnya, kajian itu bertujuan bagi mengetahui jumlah sebenar masyarakat Palau’u yang mendiami pulau-pulau di Semporna selain memperolehi asas sosio budaya, adat resam, kepercayaan dan pekerjaan mereka.

“Maklumat ini penting dan akan dijadikan sebagai panduan bagi merancang pelan strategi jangka panjang dalam usaha untuk menangani masalah Pala’u di negara ini,” ujarnya.

Bancian ini dilakukan bagi mengumpul data bilangan Pala’u dan jenis dokumen yang mereka miliki dan tindakan selanjutnya akan dibincangkan setelah data dikumpul bagi membuat perancangan yang sesuai untuk mengatasi masalah Pala’u.

Beliau berkata, kesemua kawasan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) yang diduduki oleh Pala’u terutama di kawasan Kunak dan Tawau akan terlibat dalam kajian profiling itu dalam tempoh masa yang akan diumumkan kelak.

Tambahnya lagi kajian profiling itu akan memberi manfaat kepada golongan Pala’u dari segi pemberian bantuan daripada Jabatan Kebajikan dan pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) yang ingin menyalurkan sumbangan kepada golongan itu.

“Saya berharap dalam kajian profiling ini, kesemua petugas yang terlibat dalam kajian ini akan dapat melaksanakannya dan bekerjasama dengan baik dan selamat tanpa sebarang musibah sepanjang kajian ini dijalankan,” katanya.

Untuk rekod kajian profiling fasa pertama melibatkan penempatan utama masyarakat itu di Pulau Kulapuan, Pulau Omadal dan Pulau Labuan Haji di daerah yang sama dilaksanakan selama tiga hari bermula 18 Mac lepas.

Sebelum ini, Komander Esscom, Datuk Abd. Rashid Harun telah memberi amaran kepada masyarakat Pala’u supaya tidak dieksploitasi oleh pihak tertentu bagi melakukan jenayah, khususnya di Esszone.

Abd. Rashid berkata, Esscom memandang serius dakwaan penglibatan sesetengah masyarakat Pala’u dalam aktiviti tidak sihat termasuk penyeludupan barang-barang terlarang dan membawa masuk pendatang tanpa izin (PATI) yang boleh mengancam keselamatan negara.

Pala’u dikenali sebagai “Sea Gypsies” kerana hidup secara nomad di lautan, dan majoriti mereka masih menetap di perahu dan mengamalkan budaya hidup sebagai pelaut, serta majoriti masyarakat Pala’u kini dikesan menetap di perairan sekitar Semporna, Kunak, Lahad Datu dan Sandakan. – oleh Muahlim Lise / SayangSabah

Komen


Berita Berkaitan