Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Pasukan Itihad FC Sasar Liga FAM 2016

Itihad FC.
Itihad FC.

KOTA KINABALU – Bahang kebangkitan sukan bola sepak Sabah terus disemarakkan dengan kemunculan pelbagai kelab daripada kalangan warga belia tempatan.

Terbaharu, sebuah lagi kelab ditubuhkan  yang dilihat bakal mewarnai arena sukan nombor satu dunia itu sekali gus merancakkan usaha untuk mengembalikan zaman kegemilangan pasukan Sabah.

Dikenali sebagai Itihad FC, pasukan ini tampil dengan aksi permainan yang kemas, mantap dan bersih menyebabkan pelbagai pihak mulai memberi tumpuan terhadap para pemain yang rata-rata berasal dari sekitar Kota Kinabalu.

Bermula dengan beberapa siri kemenangan dalam beberapa perlawanan persahabatan, Itihad FC terus mengorak langkah ke hadapan memperkemas setiap ruang untuk mengekalkan momentum kemenangan ke arah membentuk sebuah pasukan yang teguh.

Antara kejayaan Itihad termasuk membenam UiTM FC dan Kolej Yayasan Sabah dengan jaringan 8-0 dan memberi kejutan terhadap pasukan Juta FC di Stadium Keningau baru-baru ini dengan 1-0.

Pemilik kelab tersebut, Mohd. Saifullah Hisham berkata, mereka meletakkan sasaran pasukan itu untuk menyertai Liga FAM pada 2016.

“Saya melihat permainan yang ditunjukkan para pemain semakin meningkat dan jika ia terus konsisten saya percaya sasaran kami untuk bermain di Liga FAM mampu dicapai kelak,” ujarnya sambil mengakui telah menghubungi jurulatih dari Iraq untuk mengendalikan pasukan tersebut.

Katanya, jurulatih berkenaan yang telah menetap lama di negara ini sudah menyatakan persetujuan dan menandatangani kontrak sehingga 2017.

Sambil menyatakan perancangan termasuk hasrat memperkuatkan pasukan dengan mengambil bekas pemain import Sabah, Saifullah turut mengharapkan para peminat bola sepak negeri ini dapat sama-sama memberikan sokongan terhadap pasukan itu. – SayangSabah

Komen


Berita Berkaitan