Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

16 dipercayai PATI ditahan dalam operasi khas di Lahad Datu

Abdul Rashid, Ruji dan Iman turut menyertai operasi bersepadu khas itu bagi memantau peniaga haram di pasar Lahad Datu. - foto ihsan Esscom
Abdul Rashid, Ruji dan Iman turut menyertai operasi bersepadu khas itu bagi memantau peniaga haram di pasar Lahad Datu. – foto ihsan Esscom

LAHAD DATU – Seramai 16 orang dipercayai pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Filipina ditahan dalam operasi bersepadu khas oleh Pejabat Daerah Lahad Datu dan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) di sekitar bandar Lahad Datu, di sini, hari ini.

Menurut Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Sukarti Wakiman berkata, operasi itu bagi memburu dan membersihkan bandar Lahad Datu daripada PATI dan aktiviti perniagaan haram.

“Kesemua yang ditahan itu akan dihantar pulang ke negara asal mereka oleh Jabatan Imigresen. Dalam operasi itu yang bermula jam 8 pagi melibatkan pelbagai agensi kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan, termasuk Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara,  Jabatan Perikanan, Jabatan Kesihatan, Cawangan KPDNKK, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Majlis Daerah Lahad Datu.

“Kerajaan mahu melihat bandar Lahad Datu ini bebas daripada PATI dan peniaga haram (kebanyakannya PATI). Sebab itu,  kita laksanakan operasi ini secara berterusan bukan sahaja di Lahad Datu tetapi juga di kawasan lain di ESSZONE,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Turut berada di lapangan bagi memantau dan menjayakan operasi bersepadu itu ialah Komander Esscom, Datuk Abdul Rashid Harun; Pengarah Awam Esscom Ruji Ubi dan Pegawai Daerah Lahad Datu, Iman Ali.

Sukarti berkata, operasi membanteras PATI itu merupakan langkah susulan Laporan Siasatan Suruhanjaya Diraja (RCI) mengenai PATI di Sabah yang dibentangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Negeri (JKKN) baru-baru ini yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman. – oleh Monica Gidong / SayangSabah

Komen


Berita Berkaitan