Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,736

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

150 Kayu Bergergaji Dirampas Dalam Operasi Sekitar Perairan Tobo-Tobo

9:11pm 28/10/2016 Pak Roshan 248 views Jenayah,Mutakhir
gambar hiasan

gambar hiasan

LAHAD DATU : Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) merampas 150 kayu bergergaji yang cuba diseludup ke luar negara dalam operasi di sekitar perairan Tobo-Tobo di Semporna, semalam.

Komander Esscom Datuk Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Semporna yang membuat rondaan rutin terserempak dengan bot yang berada dalam keadaan mencurigakan sebelum pemilik bot itu bertindak melarikan diri.

“Apabila bot itu dihampiri untuk pemeriksaan, pemilik bot berkenaan bertindak memotong tali tunda kayu sebelum melarikan diri. APMM kemudian menemukan 150 kayu yang ditinggalkan tanpa dokumen daripada Jabatan Perhutanan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Wan Abdul Bari, kesemua barang rampasan termasuk bot laju dan enjin sangkut Yamaha 40hp yang digunakan suspek dibawa ke Pangkalan Maritim Semporna dan diserahkan kepada Jabatan Perhutanan untuk siasatan lanjut mengikut Enakmen Hutan dan Peraturan-Peraturan Hutan 1969.

Sementara itu, dalam operasi berbeza di daerah Semporna, Pasukan Polis Marin (PPM) menahan lima pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina dalam Op Gelora kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah pada Rabu lepas.

Pada hari sama juga, PPM Semporna turut menahan dua warga Filipina berumur 19 dan 30 tahun kerana cubaan menyeludup keluar 19 jerikin minyak dipercayai petrol di perairan antara Pulau Denawan dan Omadal.

“Turut disita dua perahu, tujuh bot pam, satu enjin sangkut Yamaha 75hp dan tujuh enjin pam yang digunakan suspek atas pelbagai kesalahan yang dianggarkan bernilai RM112,000.

Beliau berkata semua tangkapan dan rampasan akan disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Imigresen 1959 (Pindaan 2002) dan Seksyen 474 Ordinan Perkapalan Saudagar 1960 dan akan diserahkan kepada agensi penguat kuasa yang berkaitan untuk tindakan lanjut.

Wan Abdul Bari berkata penahanan dan rampasan itu merupakan usaha berterusan Esscom bersama semua pasukan keselamatan termasuk Polis Diraja Malaysia, APMM dan Angkatan Tentera Malaysia bagi memastikan perairan negara terkawal dan tidak dibolosi penjenayah.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan