Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

12,415

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

145Kg Sampah Plastik Dan Botol Dikutip Dari Pulau Sibuan

8:00pm 05/03/2017 Pak Roshan 522 views Mutakhir,Tawau,Tempatan

Pulau Sibuan, Semporna

SEMPORNA, 5 Mac : Sebanyak 145 kilogram sampah daripada plastik dan botol dikutip di Pulau Sibuan di sini sempena Program Jiwa Murni anjuran Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) KD Sri Semporna.

Penyelaras Program itu Kapten Dr M Ari Krishnan berkata program bersama Kelab Pencinta Alam Green Semporna (Green Semporna) itu bertujuan untuk memastikan pulau peranginan di sini sentiasa bersih dan terpelihara selain mendidik penduduk di pulau itu agar menjaga kebersihan.

“Pelbagai kemungkinan akan timbul sekiranya persekitaran kita dalam keadaan kotor, selain berkemungkinan terdedah dengan pelbagai penyakit.

“Sampah sarap dan sisa toksik yang dibuang merata tempat mendedahkan kesan buruk kepada hidupan air dan manusia apatah lagi Semporna merupakan pusat pelancongan marin terkenal di dunia,” katanya kepada Bernama.

Kira-kira 70 orang terlibat dalam program berkenaan antaranya sukarelawan, anggota TLDM, anggota Taman-Taman Sabah, pelancong dan penduduk kampung.

Dalam pada itu, Pengasas Green Semporna Rehna Ismail berkata program itu diadakan bertujuan untuk terus membudayakan masyarakat Semporna dengan sikap sayang dan menghargai alam sekitar.

“Jika tidak membendung masalah sampah sekarang, cuba bayangkan permukaan laut di Semporna diliputi sampah sarap, pasti akan turut menjejaskan pendapatan nelayan dan pelancongan negara,” katanya.

Rehna berkata, meskipun setiap daerah mempunyai jabatan yang menguruskan pembersihan alam sekitar namun masyarakat perlu bersama-sama menggalas tanggungjawab memastikan kebersihan di kawasan sekeliling terjamin.

Sementara itu, Renjer Taman-Taman Sabah di Taman Marin Tun Sakaran, Salehudin Kusli mahu pengusaha pelancongan atau jabatan kerajaan swasta dapat menjalankan lebih banyak program membersihkan alam sekitar sama ada di darat atau dasar laut di Semporna.

Katanya, difahamkan setiap hari hampir 100 sehingga 400 kilogram sampah dari pekan Semporna dihanyutkan dan terdampar di sekitar pulau-pulau dalam Taman Marin Tun Sakaran.

“Masalah sampah ini perlu ditangani segera, didikan awal anak-anak dari rumah itu penting yang mana sampah wajib dibuang di dalam tong sampah,” katanya lagi.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan