Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

14 MAJIKAN DIKOMPAUN OLEH PERKESO DI KENINGAU

KENINGAU, 13 Ogos (Bernama) — Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Keningau mengenakan kompaun terhadap 14 majikan bernilai RM8,000 kerana melanggar Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 dan Akta Sistem Insuran Pekerjaan 2017 dalam Ops Kesan dijalankan sejak awal bulan ini.

Pengurusnya Rijal Jamalludin berkata sebanyak 13 daripada majikan itu dikenakan kompuan RM500, manakala satu majikan lagi dikompuan RM1,500 kerana gagal mematuhi peraturan dengan melengahkan pendaftaran perusahaan dan pekerja melebihi setahun sebagaimana had ditetapkan.

Rijal berkata kesemua majikan dikenakan kompaun itu merupakan sebahagian daripada 32 premis syarikat diperiksa PERKESO sepanjang operasi tersebut.

“PERKESO tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana syarikat yang sengaja mengabaikan tanggungjawab mereka kepada pekerja. Ini bagi mewujudkan kesejahteraan kepada para pekerja sekali gus memastikan pekerja mendapat perlindungan keselamatan sosial sewajarnya,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata Ops Kesan dijalankan bertujuan mengesan mana-mana majikan di daerah ini yang sengaja melanggar undang-undang ditetapkan.

Operasi yang berlangsung sehingga hujung tahun itu juga akan memastikan setiap syarikat mendaftarkan perusahaan serta pekerja dengan PERKESO, katanya.

— BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan