Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,664

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

12 Petua Untuk Pemuda Islam

10:49am 27/11/2015 Zakir Sayang Sabah 23 views i-Muslim
Gambar Hiasan

Gambar Hiasan

Mengapa anda, seorang pemuda Islam, perlu membantu rakan-rakan untuk mengenali dan mendekati Allah?

Mana tidaknya, anda sendiri pun sudah mempunyai banyak masalah sendiri untuk difikirkan: perlu menerangkan mengapa orang Islam diwajibkan solat, diskriminasi terhadap Hijab, mempertahankan Islam apabila Profesor anda menyerangnya, berhadapan denga ibubapa yang marah apabila anda mula menyimpan janggut dan pelbagai lagi dugaan dan kepayahan yang terpaksa dihadapi oleh pemuda Islam yang cuba mengamalkan ajaran Islam yang sebenar.

Islam bukan agama yang individulistik, yang dikhaskan buat mereka yang tertentu sahaja. Seorang Muslim mempunyai tanggungjawab untuk menyebarkan Deen ini, dan pemuda, samada yang baru mula memahami dan mengamalkan Islam, aktivis atau pemimpin memainkan peranan yang penting.

“Allah telah meletakkan mereka pada satu kedudukan di mana tiada orang lain yang berada di kedudukan tersebut”, kata Sheema Khan, bekas penasihat Muslim Youth of North America bagi Kanada Timur.

“Mereka mempunyai pelbagai cara untuk berkomunikasi dengan rakan-rakan, mereka memahami apa yang pemuda lain lalui dan mereka juga mendapat petunjuk Islam.”

Jangan panik. Berikut adalah petua dan nasihat daripada para pemuda Muslim yang pernah berda’wah dan berjaya melakukannya:

Petua 1: Ikhlaskan Niat
Setiap perkara yang kita lakukan mestilah kerana Allah. Itu termasuklah tugas mengajak kepada Allah (berda’wah). Ini bermakna anda tidak boleh sombong dan meninggi diri kerana memikirkan bahawa anda adalah guru dan penyelamat dan orang lain harus bersyukur kerana anda telah memilih untuk melakukan misi menyelamatkan mereka.Hidayah dan petunjuk itu dari Allah. Berdoalah dan lakukan semuanya kerana Allah. Ingat bahawa Allah boleh menyesatkan dan memesongkan anda jika Dia mahu (sama-sama kita mohon perlindungan daripada Allah)

Petua 2: Amalkan Apa Yang Anda Sampaikan
Tidak mengamalkan apa yang disampaikan adalah satu kesalahan. Orang akan hilang kepercayaan terhadap anda apabila mereka mengetahuinya. Allah telah banyak kali berpesan di dalam Al-Quran:” Mengapa kamu katakan apa yang tidak kamu lakukan?’

Petua 3: Guna Al-Quran dan Sirah sebagai Rujukan Da’wah.
Baca dan faham ayat-ayat Al-Qu’ran yang mengisahkan tentang cara Da’wah para Nabi. Baca Sirah untuk melihat bagaimana Nabi Muhammad s.a.w berda’wah kepada pelbagai jenis manusia termasuk golongan pemuda.

Sebagai tambahan, belajar daripada para penda’wah dan baca buku-buku yang ditulis oleh mereka seperti buku oleh Yahiya Emerick yang berjudul “How to Tell Others About Islam”.

Petua 4: Bercakaplah Dengan Manusia Seolah-olah Anda Tidak Mengenali Mereka.
Jangan sangka anda kenal seseorang hanya dengan melihatnya. Anda tidak tahu jika anda boleh berbincang tentang Islam dengan remaja perempuan yang berjalan di koridor sekolah seperti ia pentas catwalk. Anda tidak boleh melabel lelaki Muslim yang anda tidak pernah nampak di masjid sewaktu solat Jumaat sebagai seorang “Muslim yang Teruk” kerana mungkin dia tidak pernah diajar tentang Islam dan tidak tahu kepentingan solat Jumaat bagi lelaki.

Petua 5: Senyum
Tahukah anda bahawa Nabi Muhammad saw sentiasa menguntumkan senyuman? Saying sekali bahawa Muslim pada hari ini lokek dengan senyuman malah ramai yang sentiasa berwajah serius.

Senyum,beramah-mesra dan berbuat baik adalah tingkahlaku Nabi yang kita perlu amalkan dalam hidup seharian. Jika kita mahu mengajak kepada Islam, kita mestilah menjadikan diri mudah didekati oleh orang lain. Senyuman merupakan kunci utama.

Walaubagaimanapun, berhati-hati kerana membiarkan diri mudah didekati tidak bermaksud kita harus bermesra dengan jantina yang berlainan jenis.Islam menyediakan garis panduan yang lengkap untuk pergaulan antara lelaki dan wanita. Da’wah tidak boleh dijadikan alas an untuk mengadakan perbincangan berdua-duaan antara lelaki dan wanita. Cuba adakan satu sistem dimana seseorang yang berminat dengan Islam dirujuk pada orang yang sama jantina dengannya.

Petua 6: Ambil Langkah Pertama dan Bergaul Dengan Mereka
Ambil langkah pertama untul mengajak seseorang yang anda baru kenal untuk makan bersama, menonton perlawan hoki bersama-sama atau menjemputnya berbuka puasa bersama pada bulan Ramadhan. Di samping itu berkongsi dengannya perasaan gembira, sedih, dan susah. Bantunya menyiapkan kerja sekolah, jadilah tempat dia meluahkan perasaan apabila dia menghadapi masalah, bincang masalah yang anda sama-sama hadapi dan simpan rahsianya. Walaubagaimanapun jika masalah itu sesuatu yang serius contohnya rakan anda mahu membunuh diri atau menghisap dadah cepat-cepat laporkan pada orang dewasa yang lebih arif dan boleh membantu.

Petua 7: Tunjukkan Bahawa Islam Masih Relevan pada Zaman Ini
Mungkin ada golongan muda yang merasakan bahawa Islam sudah lapok dan ketinggalan zaman malah tidak sesuai untuk diamalkan pada zaman moden. Buktikan sangkaan mereka salah. Tunjukkan bahawa ajaran Islam mengutamakan hubungan dengan Allah dan ini boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja , pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja. Allah lebih dekat dengan anda berbanding urat nadi anda sendiri. Allah Maha Mendengar dan Maha Mengetahui segala yang ada di langit dan di bumi. Galakkan rakan-rakan memohon pertolongan dan bantuan Allah sewaktu menduduki ujian dan peperiksaan dan sewaktu menghadapi masalah. Di samping itu tunjukkan bagaimana Islam mengambil berat tentang remaja dan pemuda: Islam menyediakan fokus dan kefahaman yang jelas tentang diri anda dan hala tuju anda.

Petua 8: Ajak Rakan-rakan Menyertai Aktiviti Sukarela Bersama Anda
Jika anda terlibat dengan aktiviti berkomuniti, ajak rakan-rakan anda untuk turut serta. Minta mereka membuat iklan untuk aktiviti remaja atau memikirkan aktiviti-aktiviti yang sesuai untuk diadakan pada waktu cuti sekolah. Penglibatan sebegini akan membuat mereka rasa bahawa mereka sebahagian dari komuniti Islam dan akan merapatkan silaturahim kerana anda bekerja bersama. Pastikan anda mengucapkan terima kasih atas sumbangan mereka.

Petua 9: Tanya Mereka 4 Soalan Asas
Semakin anda rapat dengan rakan-rakan, anda akan sedar bahawa perkara-perkara yang dibincangkan semakin serius dan lebih mendalam. Anda mungkin berbincang tentang matlamat dan perancangan hidup pada masa akan datang. Khan mencadangkan 4 soalan yang boleh memandu perbincangan anda kepada perbincangan tentang Allah dan Islam:

i) Ke mana arah tuju hidup saya dan perkara apa yang akan memberi kebahagiaan pada diri saya?
ii) Apakah yang saya percaya?
iii) Kepada siapa harus saya bersyukur dan berterima kasih?
iv) Adakah saya dapat sampai ke tahap sekarang tanpa bantuan daripada sesiapa pun?

Petua 10: Beri Penekanan Kepada Solat 5 Waktu Sehari Sebelum Memberi Penekanan Kepada Aspek-aspek Lain
Medium perhubungan utama seorang hamba dengan Allah pada setiap hari adalah melalui solat lima waktu sehari. Jangan menekankan tentang aspek-aspek lain dalam Islam sehingga rakan anda sudah benar-benar berusaha menjaga solat lima waktu sehari. Tekankan hubungan terus dengan Allah dalam solat tanpa sebarang perantaraan. Jika mereka menghadapi masalah, galakkan mereka solat dan memohon bantuan Allah dalam Solat. Jika boleh, ajak rakan anda solat berjemaah sewaktu anda bersama dengannya. Apabila rakan anda sudah mula Solat, ia merupakan langlah pertama kepada aspek-aspek lain seperti menghormati ibubapa, menutup aurat dan berhenti bercakap perkara yang tidak berfaedah.

Petua 11: Bantu Mereka Percaya Pada Orang Dewasa
Orang dewasa seperti bapa Bart Simpson, Homer dalam kartun bersiri “The Simpsons” selalu menjadi bahan gelak ketawa remaja hari ini kerana dianggap bodoh. Tugas anda adalah untuk membuang persepsi buruk remaja terhadap orang dewasa dan menanamkan perasaan hormat pada mereka. Apa yang anda perlu lakukan: Setiap kali seorang Muslim dewasa melakukan suatu kebaikan (seperti menyelamatkan nyawa seseorang, menderma pada jalan Allah, menjaga keluarganya dengan baik) sebutkan dalam perbualan anda dengan rakan-rakan dan puji perbuatan orang dewasa tersebut. Hal ini bukan sahaja boleh mengubah pandangn rakan anda terhadap orang dewasa malah boleh menggalakkan mereka lebih menghormati dan menghargai ibubapa.

Petua 12: Teruskan Menyokong Mereka
Ingat, hanya kerana seseorang sudah mula rajin dan istiqamah dalam melaksanakan ajaran Islam, hal ini tidak semestinya sentiasa lancar. Mungkin akan tiba masanya dia akan menghadapi kesusahan dan kepayahan. Akan ada masanya rakan anda ragu-ragu terhadap apa yang diamalkannya. Pastikan anda di sisinya untuk terus memberi galakan dan sokongan.

(Sumber: Eramuslim Malaysia)

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan