Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

12,510

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

12 Ikon Remaja Muslim Yang Patut Anda Teladani

9:17pm 20/03/2017 Zikri Zainudin 13 views i-Muslim

Gambar Hiasan

Siapa sangka, begitu ramai remaja Muslim yang hebat dalam kalangan umat terdahulu. Mereka berjaya mengukir sejarah dan mengharumkan nama Islam di mata dunia.

Berikut disenaraikan beberapa ikon pahlawan Islam yang hebat ketika usia remaja antaranya;

#1 – Zubair Bin Al-Awwam

Ketika berusia 15 tahun, beliau memeluk Islam dan menjadi pemimpin dakwah Islam, anggota berkuda Islam, tentera Islam yang paling berani menentang musuh dan handal menghunus pedang. Zubair bin al-Awwam adalah salah seorang sahabat Rasulullah s.a.w yang termasuk dalam kalangan 10 orang sahabat yang dijamin syurga.

#2 – Talhah Bin Ubaidillah

Beliau adalah pemuda yang bijak, berfikiran tajam, gagah berani, jujur, tidak pernah berlaku khianat dan tidak mengingkari janji. Sekitar usia 15 tahun, beliau memeluk Islam.

Jasanya terhadap Islam adalah apabila beliau sanggup mengorbankan dirinya sendiri demi melindungi dan mempertahankan Rasulullah s.a.w daripada terkena panahan pihak musuh ketika Perang Uhud.

Talhah bin Ubaidillah tergolong dalam kalangan 10 orang sahabat yang dijamin syurga oleh Nabi Muhammad s.a.w dikurniakan kekayaan duniawi. Namun, hal tersebut tidak membuatkan dirinya alpa, bahkan beliau menjadi seorang yang sangat pemurah dan dermawan. Hartanya dihabiskan demi Islam dan membantu mereka yang memerlukan.

#3 – Sa’ad Bin Abi Waqqas

Sa’ad bin Abi Waqqas; seorang pemuda Mekah, berketurunan terhormat dari kedua ibu bapa yang mulia. Beliau amat membenci agama dan cara hidup masyarakat Mekah yang menyembah berhala ketika itu. Pada usia 17 tahun (ada pendapat mengatakan 15 tahun), beliau memeluk Islam dibantu oleh Saidina Abu Bakar as-Siddiq.

Pengislaman Sa’ad bin Abi Waqqas mendapat tentangan daripada kaum kerabatnya, terutama ibunya. Namun, beliau lebih memilih Islam dan tetap dengan pendiriannya. Seawal usia remajanya, beliau sudah melibatkan diri dengan aktiviti memanah.

Ternyata apa yang dilakukannya itu dimanfaatkan untuk berjihad bersama Rasulullah s.a.w dalam beberapa peperangan antaranya, Perang Badar dan Perang Uhud sehingga menjadi salah seorang pemanah terbaik Islam suatu masa dahulu.

#4 – Al-Arqam Bin Abi Al-Arqam

Pada awal kedatangan Islam, agama ini masih belum dikenali ramai dan ditentang habis-habisan oleh penduduk Madinah ketika itu. Lalu, muncul seorang pemuda bernama al-Arqam bin Abi al-Arqam yang ketika itu berusia 16 tahun membuka pintu rumahnya untuk dijadikan pusat dakwah Islam di kota Madinah selama 13 tahun.

#5 – Zaid bin Tsabit

Zaid bin Tsabit; seorang sahabat Rasulullah s.a.w yang mempunyai tubuh badan yang kecil. Sungguhpun begitu, semangatnya untuk membantu dakwah Islam tidak pernah luntur.

Bermula pada usianya 13 tahun, beliau sudah mulai menyibukkan diri dengan urusan umat Islam. Apabila mendengar seruan jihad beliau tanpa berlengah terus berangkat bersama kaum Muslimin yang lain.

#6 – Tariq Bin Ziyad

Pada masa pemerintahan al-Walid Bin Abdul Malik, Khalifah Bani Umayyah Tariq bin Ziyad melakar sejarah kerana berjaya menakluk wilayah Sepanyol. Ketika itu usianya masih muda, iaitu kurang dari 30 tahun.

#7 – Bilal Bin Rabbah

Beliau adalah pemuda berkulit hitam yang berasal dari Habsyah dan memiliki suara yang cukup merdu. Beliau memeluk Islam ketika masih menjadi hamba kepada Umayyah; seorang penyembah berhala.

Bilal diseksa oleh Umayyah di tengah padang pasir yang sangat panas kerana pengislamannya. Dadanya ditindih dengan batu yang sangat besar. Sungguhpun begitu, Bilal tetap teguh dengan Islam.

Beliau merupakan muazzin pertama dalam Islam pada zaman Rasulullah s.a.w. Kesedihan Bilal atas kewafatan Rasulullah s.a.w menyebabkan beliau tidak sanggup untuk mengumandangkan azan selepas Baginda wafat.

#8 – Tsa’labah Bin Abdul Rahman

Ketika berusia 17 tahun, Tsa’labah bin Abdul Rahman memeluk Islam. Suatu ketika, beliau terlihat seorang wanita dalam keadaan aib tanpa disengajakan. Lalu, Tsa’labah memencilkan diri ke sebuah gua dan menangisi dirinya saban hari kerana takut dan bimbang dengan balasan Allah swt terhadapnya.

Hal tersebut sampai ke pengetahuan Rasulullah s.a.w dan Baginda menenangkan Tsa’labah hingga akhirnya beliau wafat di riba Baginda s.a.w.

#9 – Imam Syafie

Imam Syafie atau nama sebenarnya, Muhammad bin Idris merupakan pengasas bagi mazhab Syafie dan memiliki susur galur dengan Nabi Muhammad s.a.w. Kehebatan luar biasanya mulai terserlah ketika usianya masih muda.

Beliau berjaya menghafal al-Quran ketika berusia 7 tahun dan menghafal kitab al-Muwatta’ karya Imam Malik sekitar usianya 10 tahun.

Disebabkan kecerdikan dan daya ingatan yang luar biasa, Imam Syafie diberi kepercayaan oleh gurunya untuk memberikan fatwa sendiri dan mengajar di Masjidil Haram ketika berusia 15 tahun. Ramai ulama memuji Imam Syafie, termasuklah gurunya sendiri.

Imam Malik berktata;

“Tidak ada lagi keturunan Quraisy yang lebih pandai daripada Imam Syafie.”

#10 – Usamah Bin Zaid

Zaid bin Haritsah, seorang pahlawan Islam yang mati syahid ketika Perang Mut’ah. Kehebatan Zaid diwarisi oleh anaknya, Usamah seorang pemuda yang gagah dan berani di medan perang.

Ketika berumur 15 tahun, Usamah sudah mengikuti Perang Khandaq dan kemudiannya mengikuti ayahnya dalam Perang Mut’ah. Manakala sekitar usianya 18 tahun, beliau dilantik menjadi panglima pasukan untuk melawan pasukan Rom pada zaman Umar bin al-Khattab.

#11 – Mus’ab Bin Umair

Mus’ab bin Umair hidup pada zaman Rasulullah s.a.w. Beliau dikenali sebagai pemuda paling tampan dan kaya di kota Mekah berketurunan Quraisy; Mus’ab bin Umair bin Hasyim bin Abdul Manaf bin Abdud bin Qushahy bin Kilab al-Abdari al-Quraisyi.

Saban hari, hidupnya dilimpahi dengan pelbagai kekayaan dan kenikmatan dunia. Asalnya, keluarga Mus’ab bin Umair adalah penyembah berhala, gemar pada pesta keraian dan nyanyian.

Namun, setelah Islam datang, Mus’ab bin Umair sanggup meninggalkan segala kemewahan tersebut walaupun diseksa oleh kedua orang tuanya, semata-mata untuk mengikut ajaran Rasulullah s.a.w.

#12 – Sultan Muhammad al-Fateh

Sultan Muhammad al-Fateh mempunyai aura tersendiri kerana kehebatan luar biasanya yang berjaya menakluk kota Konstantinople pada usia 21 tahun (pendapat lain mengatakan 19 tahun). Kisah beliau juga turut dikhabarkan oleh Rasulullah s.a.w.

Baginda Nabi s.a.w bersabda;

“Sesungguhnya, Konstantinople akan ditakluk oleh kalian. Maka sebaik-baik pemimpin adalah pemimpinnya dan sebaik-baik tentera adalah tentera yang menakluknya.”
Hadis riwayat Ahmad.

Terdapat ramai lagi tokoh pahlawan Islam yang hebat sejak usia belia remaja. Sesungguhnya, umat Islam kini seakan ‘kehilangan’ remaja Muslim hebat seperti dahulu yang meletakkan Islam dan akhirat sebagai keutamaan dalam hidup mereka. Jika ada sekalipun, hanyalah segelintir dan itupun masih belum mampu menandingi kehebatan remaja dahulu.

Berbeza keadaan dan situasi remaja Muslim kini yang berasa hebat apabila memiliki teman wanita, teman lelaki, memiliki gajet yang terkini, fesyen yang up to date dan sebagainya. Mudah-mudahan, kita juga mampu meneladani sikap dan keperibadian mereka walau sedikit. InsyaAllah.

(Sumber: tazkirah.net, oleh Marina M. Arus)

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan