Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,736

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

116 PATI Ditahan Dalam Operasi Bersepadu Di Penampang

1:17pm 28/08/2016 Pak Roshan 928 views Jenayah,Mutakhir

pati

KOTA KINABALU :  Seramai 116 pendatang asing tanpa izin (PATI) dengan 103 daripadanya warga Filipina dan selebihnya rakyat Indonesia, ditahan dalam operasi bersepadu di sekitar daerah Penampang, hari ini.

Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah dalam kenyataan hari Sabtu, berkata jumlah PATI ditahan itu adalah sebahagian 362 individu yang diperiksa dalam operasi selama 19 jam bermula 1 pagi tadi (27 Ogos) dan berakhir 8.30 malam ini.

“Daripada jumlah PATI ditahan itu, 90 adalah lelaki. Kesemua PATI ditangkap di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) dan Peraturan-Peraturan Imigresen kerana kesalahan memasuki dan berada di negara ini secara haram,” menurut kenyataan itu.

MKN Sabah berkata kesemua PATI berumur antara sembilan hingga 61 tahun itu kini ditahan di Pusat Tahanan Sementara (PTS) Kota Kinabalu, Menggatal untuk siasatan lanjut.

Dalam pada itu, MKN Sabah memaklumkan sejak Januari 2016 hingga hari ini, seramai 1,880 PATI ditahan daripada 5,651 individu yang diperiksa dalam tempoh berkenaan.

Kenyataan itu juga menyebut sehingga hari ini, 5,058 PATI sedang ditahan di empat PTS di seluruh Sabah, dengan jumlah teramai di PTS Sibuga sebanyak 1,565 orang, diikuti PTS Kota Kinabalu (1,533), PTS Tawau (1,277) dan PTS Papar (683).

Selain itu, bagi tempoh Januari hingga hari ini, sejumlah 16,053 PATI diusir atau dihantar pulang ke negara masing-masing, dan daripada jumlah itu, 12,824 orang adalah warga Filipina, rakyat Indonesia (3,084) dan lain-lain kewarganegaraan (145).

MKN Sabah juga merakamkan terima kasih dan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia yang turut terlibat dalam operasi tersebut.

Operasi bersepadu daerah Penampang itu turut disertai Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Ketua Menteri, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan beberapa agensi penguatkuasaan lain.

— BERNAMA

pti

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan