Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

114,559 PATI di Sabah diperiksa

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (dua dari kanan ) dan Musa (dua dari kiri ) sewaktu sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pagi hari ini. - foto ihsan JKM
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (dua dari kanan ) dan Musa (dua dari kiri ) sewaktu sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pagi hari ini. – foto ihsan JKM

KOTA KINABALU – Sejak 1 Januari hingga 30 Julai tahun ini, seramai 114,559 orang disyaki pendatang tanpa izin (PATI) di Sabah telah diperiksa dan ditempatkan di pusat-pusat tahanan sementara (PTS) di negeri ini.

Pusat tahanan sementara itu dikendalikan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah sementara menunggu PATI berkenaan dihantar pulang ke negara asal iaitu selepas urusan siasatan dan pendakwaan diselesaikan.

Menyatakan perkara itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berkata, proses pengusiran PATI juga telah dipertingkatkan dan dipercepatkan.

Menurut beliau, pada 2013, seramai 13,222 PATI telah diusir ke negara asal berbanding peningkatan kepada 17,607 orang pada tahun lalu.

Bagi tahun ini pula, Musa menambah, dalam tempoh tujuh bulan sahaja iaitu sehingga 30 Julai lalu, jumlah pengusiran telahpun mencecah seramai 15,368 orang manakala sasaran yang digariskan untuk tahun ini pula adalah seramai 22,000 PATI yang diusir balik ke negara asal.

“Untuk menampung keperluan mendesak penempatan sementara PATI yang ditangkap dalam operasi penguatkuasaan menyeluruh bermula awal tahun ini, kerajaan sebelum ini telah memutuskan untuk membina semula PTS Menggatal.

“Sebagai makluman perkembangan, PTS berkenaan telah siap dan telah mula beroperasi pada 26 Februari tahun ini di bawah pengurusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan nama PTS Kota Kinabalu.

“PTS ini mempunyai  kemudahan untuk menampung seramai 2,100 PATI pada satu-satu masa. Pembukaan PTS Kota Kinabalu ini telah dapat mengurangkan isu kesesakan di PTS sedia ada dan sekali gus dapat memastikan perancangan operasi penguatkuasaan dapat dilaksanakan sertamerta,” kata sempena Mesyuarat Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing negeri Sabah, hari ini.

Musa menegaskan, kerajaan telah mengambil pendekatan yang lebih proaktif untuk mempereratkan jalinan kerjasama dan persefahaman dengan pejabat kedutaan-kedutaan negara luar yang rakyatnya kerap terjebak menjadi PATI.

Hasil inisiatif ini, katanya, proses mendapatkan kelulusan untuk penghantaran balik warga asing ini atau Travel Document telah diperolehi dengan lebih cepat sekaligus membolehkan urusan pengusiran dapat disegerakan dan mengurangkan bebanan kos tanggungan kepada kerajaan melalui pengurangan tempoh keberadaan dan pengurusan PATI di semua PTS.

Justeru, beliau berkata, semua pihak perlu bersama-sama dengan kerajaan untuk mengatasi masalah PATI di Sabah.

Tegas beliau lagi, para majikan diingatkan supaya tidak sesekali menggaji atau melindungi PATI secara haram dan tindakan tegas akan diambil terhadap sesiapa sahaja yang didapati bersalah melindungi PATI secara tidak sah atau tidak mengikut undang-undang sedia ada. – oleh Sitti Nor Azizah Talata / SayangSabah

 

 

 

Komen


Berita Berkaitan