Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,650

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

110 Kes Demam Denggi Di Sabah Sehingga 9 Jan Lalu

9:05pm 17/01/2016 Pak Roshan 228 views Kota Kinabalu,Mutakhir,Tempatan

Sebanyak-1774-Kes-Denggi-Dicatat-Di-Melaka

KOTA KINABALU – Sebanyak 110 kes demam denggi dikesan di seluruh Sabah sehingga 9 Januari lalu, meningkat 41 kes atau 59.4 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu, kata Pengarah Jabatan Kesihatan Sabah Dr Christina Rundi.

Beliau berkata daripada jumlah berkenaan, tiga kawasan mencatatkan kes sangat tinggi iaitu 38 kes di Sandakan, diikuti Tawau 16 kes dan Kota Kinabalu (15).

“Disamping itu, sebanyak 25 lokaliti wabak dilaporkan iaitu Sandakan dengan 15 lokaliti, Kota Kinabalu dan Lahad Datu masing-masing tiga, Penampang (2) serta masing-masing satu lokaliti di Tenom dan Tawau,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kementerian Kesihatan baru-baru ini meramalkan peningkatan kes demam denggi akan berterusan sehingga bulan Mac berikutan fenomena El-Nino yang menyebabkan cuaca menjadi panas dan kering dan situasi yang sama juga dijangka akan berlaku di negeri Sabah.

Dalam cuaca kering dan suhu yang tinggi, kitaran hidup nyamuk Aedes daripada telur ke peringkat nyamuk dewasa semakin singkat iaitu kurang dari tujuh hari dan ini menyebabkan populasi nyamuk akan meningkat dalam tempoh tersebut.

Selain itu, amalan masyarakat yang menyimpan air sepanjang musim panas boleh menjadi tempat berpotensi pembiakan nyamuk Aedes selain aktiviti pembuangan sampah haram dan pengurusan sampah yang tidak teratur juga boleh menyumbang kepada peningkatan kes.

“Oleh yang demikian, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah menasihatkan orang ramai untuk meningkatkan aktiviti-aktiviti pencegahan seperti meluangkan masa 10 minit seminggu membersihkan kawasan persekitaran masing-masing di samping melakukan aktiviti ‘cari dan musnah’ tempat-tempat pembiakan Aedes.

“Pastikan bekas simpanan air ditutup dengan rapi. Gunakan repelen dan memakai baju berlengan panjang semasa berada di luar rumah, khususnya pada waktu awal pagi dan lewat senja. Elakkan membuang sampah secara haram,” kata Dr Christina.

Beliau juga menasihatkan setiap individu yang mengalami simptom seperti demam, sakit badan, sakit sendi, muntah atau sakit kepala untuk segera mendapatkan rawatan di klinik-klinik berhampiran kerana rawatan awal akan dapat mencegah komplikasi akibat denggi dan juga mengelakkan daripada berlaku kematian.

Sementara itu, Dr Christina berkata sebagai aktiviti kawalan, sejumlah 343,749 premis telah diperiksa sehingga akhir tahun 2015 dan daripada jumlah itu sebanyak 3,865 premis didapati positif pembiakan Aedes.

Premis utama yang didapati positif pembiakan Aedes adalah rumah kediaman iaitu 1,760 premis atau 45.5 peratus diikuti tanah atau lot kosong (683/17.6 peratus).

Katanya sepanjang tahun lalu juga, sejumlah 402 aktiviti gotong-royong telah dilaksanakan dengan 71.9 peratus daripadanya telah dijalankan di kawasan kediaman. – BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan