Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,697

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

108 Projek Pembinaan Di Sabah Setakat Pertengahan Pertama 2016

musa

KOTA KINABALU : Jumlah projek pembinaan direkodkan di Sabah setakat pertengahan pertama tahun ini, adalah sebanyak 108 projek dengan nilai kumulatif RM1.8 bilion, kata Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 54 peratus adalah projek infrastruktur, projek perumahan (21 peratus), projek kemudahan sosial (tiga peratus) dan 22 peratus projek bukan perumahan.

Katanya projek Lebuh Raya Pan Borneo melibatkan lebuh raya tanpa tol dengan jajaran 1,236 kilometer bernilai RM12.86 bilion, yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada April lepas, adalah antara projek pembangunan berimpak tinggi di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).

“Kerajaan negeri amat mengalu-alukan pembinaan jalan raya di Sabah kerana ia akan memacu peningkatan sosio-ekonomi rakyat dan membuka peluang pekerjaan kepada anak-anak Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Graduasi Akademi Binaan Malaysia dan Majlis Menandatangani Aku Janji Program Transformasi Pembinaan Industri (CITP) oleh penggiat industri pembinaan Sabah di sini, Isnini.

Turut hadir Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof dan timbalannya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Musa berkata pada tahun lepas, 396 projek pembinaan bernilai RM4.9 bilion dilaksanakan di Sabah merangkumi 40 peratus projek infrastruktur, projek perumahan (31 peratus), projek kemudahan sosial (empat peratus) dan 25 peratus projek bangunan bukan perumahan.

Musa turut menggesa semua penggiat industri pembinaan di negeri ini mengambil peluang terlibat dalam projek mega yang sedang dilaksanakan di Sabah untuk meningkatkan keupayaan dan kepakaran masing-masing dalam bidang pembinaan infrastruktur berskala besar.

Pada majlis itu, 77 penggiat industri pembinaan di Sabah menandatangani Aku Janji CITP, sekali gus menjadikan 232 Aku Janji CITP yang telah ditandatangani penggiat industri binaan di seluruh negara, setakat ini.

CITP adalah program komprehensif industri pembinaan yang diperkenalkan antara lain bertujuan mentransformasi industri pembinaan ke arah lebih proaktif, berkualiti, mampan, selamat dan mampu berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Empat teras diperkenalkan di bawah CITP iaitu kualiti, keselamatan dan profesionalisme; kemampanan alam sekitar; produktiviti; dan pengantarabangsaan.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan