Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

10,000 PENGUNJUNG HADIRI SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN 2018 PERINGKAT NEGERI SABAH

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (tengah) menerima tabik hormat daripada kontinjen lintas hormat pada Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah 2018 di Dataran Bandaraya, Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Seramai kira-kira 10,000 pengunjung membanjiri Dataran Bandaraya bagi memeriahkan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah 2018 hari ini.

Acara yang bermula seawal jam 7.22 pagi itu dengan ketibaan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd. Shafie Apdal dan isteri Datin Seri Panglima Shuryani Shuaib.

Sambutan Hari Kebangsaan bermula dengan kawalan kehormat Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) diketuai oleh Chief Inspektor Fonny Garampang dan diiringi pancaragam Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sabah.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (tengah) pada Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah 2018 di Dataran Bandaraya, Kota Kinabalu. Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai

Kemudian acara lintas hormat bermula pada jam 7.40 pagi yang didahului dengan perarakan Jalur Gemilang oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM), bendera Sabah oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), perarakan bendera-bendera negeri seluruh negara dan bendera tema kebangsaan oleh Politeknik Kota Kinabalu.

Sebahagian 149 kontinjen yang menyertai perbarisan pada Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah 2018 di Dataran Bandaraya, Kota Kinabalu. Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai

Ini diikuti 149 kontinjen perbarisan dari lapan kategori yang berkawad segak melalui pentas utama di Dataran Bandaraya.

Perarakan masuk kontinjen didahului sekolah-sekolah menengah sekitar bandaraya Kota Kinabalu, Institut Pendidikan Tinggi, kategori swasta atau komersial, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), persatuan etnik Sabah, jabatan kerajaan tidak berpakaian seragam rasmi, jabatan kerajaan berpakaian seragam rasmi, kategori kenderaan, sokongan serta kontinjen kementerian pelajaran dan inovasi.

Pancuran air berwarna menjadi latar yang menarik pada Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah 2018 di Dataran Bandaraya, Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Selesai lintas hormat berjalan lalu, giliran kenderaan-kenderaan dari pasukan keselamatan pula mengambil alih untuk membuat lintas lalu.

Sebahagian orang ramai yang menyaksikan antara 149 kontinjen yang menyertai perbarisan pada Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah 2018 di Dataran Bandaraya, Kota Kinabalu. Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai

Pengunjung juga teruja dapat melihat satu pembaharuan pada sambutan kali ini iaitu pesawat tempur jenis Hawk 208 dari No. 6 Skuadron berpangkalan di Pangkalan Udara Labuan bersama-sama dengan dua buah helikopter Polis Diraja Malaysia serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang membuat flypast sebagai acara kemuncak.

Pesawat tempur Hawk 208 dari No 6 Skuadron Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melakukan aksi Victory Roll serta melepaskan suar sewaktu melakukan lintas hormat udara yang menjadi acara kemuncak pada Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah 2018 di Dataran Bandaraya, Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

 

Majlis turut diserikan dengan persembahan koir, bacaan puisi khas dan persembahan khas kebudayaan.

Sebahagian 149 kontinjen yang menyertai perbarisan pada Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah 2018 di Dataran Bandaraya, Kota Kinabalu. Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai

Acara tamat sekitar jam 9.30 pagi yang mana Shafie beredar balik meninggalkan majlis bersama isteri dan tetamu-tetamu kehormat lain. -SabahNewsToday

Komen


Berita Berkaitan