Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,702

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

10 Tokoh Ilmuwan Islam Yang Perlu Anda Kenali

11:43am 12/10/2016 Zakir Sayang Sabah 108 views i-Muslim
Gambar Hiasan

Gambar Hiasan

Majoriti umat Islam di dunia ini menganut akidah Ahlussunnah Wal-Jamaah (Sunni). Akidah ini adalah akidah Nabi Muhammad SAW dan para sahabat yang dikumpul dan dirumuskan pada kurun ke-3 oleh Imam Abu Hasan al-Asyari.

Antara sebab mengapa kita dikehendaki mengenali tokoh-tokoh sunni adalah supaya kita menjadi lebih berhati-hati dalam menggali sumber dan hukum-hukum agama melibatkan ketuhanan, fekah, dan akhlak. Maka dengan itu bertambah mantaplah amalan dan kepercayaan kita kepada ajaran Islam .

Sabda Hadith dalam Sunan Abu Dawud:

Rasulullah SAW bersabda:

“Sesungguhnya ulama adalah pewaris nabi. Sungguh para nabi tidak mewaris kan dinar dan dirham . Sungguh mereka hanya mewariskan ilmu maka barangsiapa mengambil warisan tersebut dia telah mengambil bahagian yang banyak.”

Riwayat Tirmizi, Ahmad, Ad-Darimi, Abu Dawud

Sayyid ‘Alawi al-Maliki dalam Mafahim Yajib ‘an Tusahah menegaskan terdapat tokoh-tokoh ulama Islam yang membawa panji kebenaran dan ilmunya memenuhi muka bumi diantaranya ialah:

#1 – Imam Ahmad Ibn Hajar Al-Asqalani

Jika anda mempunyai masalah berkaitan hadis, maka rujuklah kitab yang dikarang oleh Imam Ahmad Ibn Hajar al-Asqalani seperti kitab Fath al-Bari ala Syarh al-Bukhari. Siapakah tokoh hadis yang disegani ini? Beliau adalah seorang ulama besar bermazhab Syafi’e yang lahir pada 773 H di pinggiran sungai Nil di Mesir.

Beliau membesar sebagai anak yatim piatu dan memiliki sifat yang terpuji untuk diteladani seperti bercita-cita tinggi, cerdas, pintar bersyair, dan menjadi pemimpin agama. Imam Ibn Hajar al-Asqalani sering ke negeri Syam, Hijaz, dan Yaman untuk menuntut ilmu bahasa Arab, tafsir dan hadis sehingga beliau dizinkan untuk berfatwa.

Beliau meninggal pada 777H setelah menunaikan haji dan mengunjungi Baitul Maqdis.

#2 – Imam Nawawi

Nama penuh beliau adalah Yahya bin Syarf bin Mari bin Hassan bin Hussin bin Hazam. Imam Nawawi dilahirkan pada Muharram 631 Hijrah di Barat Daya Damsyik, Syria.

Tokoh ini terkenal sebagai pengarang kitab-kitab hadis seperti Syarah Sahih Muslim, Syarah Bukhari, Syarah Sunan Abu Daud, Hadis 40, Riyaadhus-Shaalihin dan banyak lagi.

Imam Nawawi berpesan:

“Niat adalah ukuran dalam menilai benarnya suatu perbuatan, oleh kerananya, ketika niatnya benar, maka perbuatan itu benar, dan jika niatnya buruk, maka perbuatan itu buruk.”

Imam Nawawi wafat pada 24 Rejab 676H dan beliau tidak sempat berkahwin kerana cintanya yang sangat mendalam terhadap ilmu.

#3 – Imam Al-Qurtubi

Beliau adalah Abu Abdillah Muhammad bin Ahmad bin Abu Bakr bin Farh al-Ansari al-Khazraji al-Qurtubi. Seorang ahli tafsir yang lahir di Cordova atau sekarang dikenali sebagai Sepanyol.

Imam al-Qurtubi berkelana ke negeri Timur dan menetap di Mesir. Beliau juga adalah ulama yang soleh, wara’, arif, dan zuhud. Beliau menghabiskan sisa hidupnya memberi bimbingan, beribadah, dan menulis.

Antara sumbangan terbesar karangannya untuk dipelajari dan dikaji adalah kitab tafsir al-Jami’ li Ahkami al-Quran. Kitab ini menjadi salah satu kitab terbesar yang banyak memberi manfaat.

Beliau wafat pada 671 H di Mesir.

#4 – Imam Ibn Hajar Al-Haitami

Tokoh yang mahir dalam bidang fekah ini ialah Syihabuddin Ahmad bin Hajar al-Haitami. Beliau lahir di bumi Mesir pada tahun 909 H dan wafat di tanah suci Mekkah pada tahun 974 H.

Beliau diantara ulama lulusan Universiti Al-Azhar dan banyak menghasilkan buah karya seperti kitab al-Zawajir ‘an Iqtiraf al-Kaba’ir. Antara sumbangan karyanya juga adalah dalam merungkai masalah fikah mazhab syafi’e di Nusantara seperti Indonesia dan Malaysia.

Imam Ibn Hajar berhijrah ke Mekkah selama 34 tahun untuk menyebarkan ilmu dan meninggalkan negara kelahirannya sehingga wafat. Kesungguhan dan keikhlasannya dalam menuntut ilmu wajib dicontohi bagi kita.

#5 – Imam Al-Hujjah Zakariyya Al-Ansari

Bagi kalangan pelajar, Imam al-Hujjah Zakariyya Al-Ansari terkenal sebagai pengarang kitab Minhaj At-Tullab yang dibaca bagi penuntut ilmu.

Imam As-Suyuthi, ulama yang hidup semasanya dan juga kawannya, menganggarkan tahun kelahiran Imam Zakariyya Al-Ansari adalah 824 H, di Sunaikah, desa kecil yang terletak antara kota Bilbis dan Al-Abbasiyah, timur Mesir.

Ketika kecil, beliau sudah mahir membaca Al-Qur’an dan mempelajari pelbagai kitab. Imam Zakariyya menghabiskan zaman mudanya di Masjid Al-Azhar dan menerjuni lautan ilmu yang luas seperti Akidah, Fiqh, usul-fiqh, faraid, hadis, ilmu logika, ilmu akhlak dan banyak lagi. Sehinggalah beliau dilantik sebagai Ketua Hakim pada era pemerintahan Dinasti Qaitbay.

Al-‘Aydarusi pernah berkata,

“Tidak ada ulama seperti Syaikh Zakariyya yang menepati kedudukan mengajar di majlis Imam Asy-Syafi’i.”

Syaikh Zakariyya pulang ke rahmatullah pada tanggal 4 Dzulhijjah 926 H/27 November 1520 M dalam usia 100 tahun lebih. Selama itu hidupnya diisi penuh dengan ilmu, pendidikan, dakwah, dan mengajar, hingga ia diuji dengan kebutaan mata.

Beliau meninggalkan pesanan :

“Saya tidak ingin diri ini kembali ke pangkuan Allah sebagai seorang yang malas.”

#6 – Imam Abu Bakar Baqilani

Beliau adalah Abu Bakar Muhammad bin ath-Thib bin Muhammad. Lahir di kota Basrah, Iraq.

Imam Abu Bakar Baqilani berhijrah Baghdad sehingga dilantik menjadi al-qadhi (hakim) dan diutus ke raja Romawi sebagai diplomat sekaligus pendebat, kerana diketahui memiliki kecerdasan, kejeniusan, ketajaman analisis dan keluasan ilmunya.

Beliau meninggal di penghujung tahun 403 H.

Lihatlah kepada sebuah gunung yang orang-orang berjalan menujunya.
Pandanglah kepada sebuah kuburan yang ada di atas tanah yang gersang.
Lihatlah kepada pedang Islam yang bersarung.
Pandanglah kepada mutiara Islam yang berada di rumah kerangnya.

#7 – Imam Nasafi

Maklumat tentang riwayat hidup Imam Nasafi tidak banyak diungkap. Nama lengkapnya Abdullah bin Ahmad bin Mahmud an-Nasafi. Ia lahir di Nasaf, kota Sind yang terletak antara Jihun dan Samarkand. An-Nasafi termasuk ulama yang menganut Mazhab Hanafi.

An-Nasafi menguasai banyak disiplin keilmuan. Mulai dari fiqh, usul fiqh, akidah, teologi, dan tafsir. Dalam perjalanan hidupnya, an-Nasafi terkenal sebagai mufasir atau ahli tafsir yang teliti dalam menafsir Al-Quran. Ia berguru kepada banyak ulama seperti Syams al-A’immah al-Kurdi dan Ahmad bin Muhammad al-Itabi.

An-Nasafi memiliki sikap yang tegas pada penyimpangan dalam penafsiran Al-Quran. Kerana itulah, Universiti al-Azhar sangat menghormati beliau dan juga karya-karyanya. Bahkan sebahagian besar karya an-Nasafi menjadi buku pelajaran wajib di universiti Islam tertua itu.

Beliau wafat pada tahun 701H di kota Aidzaj yang terletak di antara Khuristan dan Ashfahan.

#8 – Imam Syarbini

Nama beliau adalah Muhammad bin Muhammad Al-Khothib Asy-Syarbini Al-Qohiri Asy-Syafi’e. Beliau lahir di Syarbin, Daqliyah, Mesir pada tahun 916H. Beliau terkenal di kalangan penuntut ilmu sebagai pengarang kitab Fekah, Al-Iqna’.
Imam Syarbini memulakan pendidikan awalnya dengan mempelajari al-Quran, nahu, saraf, fiqh, tauhid, akhlak, sejarah Islam dan lain-lain.

Kemudian, beliau meneruskan pelajarannya ke tingkat yang lebih tinggi dengan belajar dibawah bimbingan beberapa ulama besar yang hidup ketika itu, diantaranya Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansari (w.926H).

Imam Syarbini masyhur sebagai seorang yang warak, zuhud, dan banyak beribadah. Diceritakan bahawa salah satu kebiasaannya ialah melakukan iktikaf di dalam masjid sepanjang bulan Ramadhan.

Imam Syarbini wafat pada tahun 977H dan dimakamkan di Kaherah, Mesir.

#9 – Abu Hayyan al-Nahwi

Abu Hayyan merupakan salah satu ahli tafsir terkemuka. Nama lengkapnya Atsiruddin Abu Hayyan Muhammad ibn Yusuf ibn Ali ibn Yusuf ibn Hayyan al-Andalusi al-Gharnathi. Beliau dilahirkan di Granada, Sepanyol pada tahun 654H.

Beliau banyak mengembara demi mencari ilmu sehingga Raja Sepanyol pernah berkata kepada Abu Hayyan:

“Sesungguhnya aku sudah tua dan hampir wafat. Maka, aku mencadangkan kepadamu agar bersedia kuajari berbagai ilmu dengan syarat kau mesti menetap di sini.”

Mendengar titah raja tersebut, Abu Hayyan berkata,

“Raja memberiku sesuatu yang baik, pakaian dan pasangan. Aku tidak mahu menerima semua itu. Lalu aku musafir karena takut dipaksa menerimanya.”

Beliau kemudian terus mengembara hingga wafat di Mesir pada tahun 745 H. Beliau juga selalu dikenang sejarah kerana sifatnya yang menawan.

Al-Adfawi, teman seperjuangannya berkata:

“Beliau seorang yang adil, jujur, dan selamat akidahnya dari perkara bid’ah. Beliau sangat khusyuk. Sering beliau menangis ketika membaca Al-Qur’an. Peewatakannya berbadan tinggi, tampan, berkulit putih kemerah-merahan, rambutnya panjang dan rapi.”

#10 – Imam Syafi’e

Abu Abdullah Muhammad bin Idris al-Syafi’e atau yang sering disebut Imam Syafi’e lahir pada 150 H di Asqalan, Gaza, Palestina. Beliau juga merupakan ulama besar pada 204 H . Beliau adalah seorang mufti besar sunni Islam dan juga pendiri Mazhab Syafi’e. Imam Syafi’e juga tergolong kerabat dari Rasulullah SAW.

Saat usia 20 tahun, Imam Syafi’i pergi ke Madinah untuk berguru kepada ulama besar saat itu, Imam Malik. Dua tahun kemudian, ia juga pergi ke Iraq, untuk berguru pada murid-murid Imam Hanafi di sana.

Salah satu karangannya adalah “Ar risalah” buku pertama tentang usul fiqh dan kitab “Al Umm” yang berisi mazhab fiqhnya yang baru. Imam Syafi’i adalah seorang mujtahid mutlak, imam fiqh, hadis, dan usul.

Imam Ahmad berkata tentang Imam Syafi’e:

”Dia adalah orang yang paling faqih dalam Al Quran dan As Sunnah, Tidak seorang pun yang pernah memegang pena dan tinta (ilmu) melainkan Allah memberinya di ‘leher’ Syafi’e,”.

Imam Syafi’e memiliki sifat amanah, zuhud, wara’, takwa, dermawan, tingkah lakunya yang baik, darjatnya yang tinggi.

Imam Syafi’e wafat pada malam Jum’at menjelang subuh pada hari terakhir bulan Rajab tahun 204 Hijriyyah pada usia 52 tahun di Kaherah, Mesir.

Sayyidah Nafisah pernah meminta untuk memasukkan jenazah Imam Syafi’e ke rumahnya, setelah jenazah dimasukkan, dia turun ke halaman rumah kemudian solat jenazah, dan berkata:

“Semoga Allah merahmati asy-Syafi’i, sungguh ia benar-benar berwudhu dengan baik.”

Kesimpulannya, terdapat ramai lagi tokoh ulama dan ilmuan sunni yang diperakui kebenaran ilmu yang dibawa seperti Imam Al-Ghazali, Imam Fakhruddin ar Razi, Imam al-Baihaqi, Imam Khandahlawi, dan lain-lain.

Justeru dengan mengenali dan mencontohi tokoh-tokoh ulama dan ilmuan Islam ini, kita akan lebih bersemangat dalam mempelajari ilmu agama kerana menuntut ilmu agama terutamanya ilmu syariat itu adalah wajib bagi setiap muslim.

Firman Allah Ta’ala ;

يَعْلَمُونَ ظَاهِرًا مِنَ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَهُمْ عَنِ الْآَخِرَةِ هُمْ غَافِلُونَ

“Mereka hanya mengetahui yang lahir (sahaja) dari kehidupan dunia, sedangkan mereka lalai tentang (kehidupan) akhirat”.

QS. Ar-Ruum [30]: 7

(Sumber: Tazkirah.net, oleh Fajrul Islam Baharudin)

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan