Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

10 Keistimewaan Apabila Anda Solat Secara Berjemaah

Gambar Hiasan

Solat jemaah adalah solat yang dilakukan secara beramai-ramai yang sekurang-kurangnya 2 orang; seorang imam dan seorang menjadi makmum. Jika semakin ramai bilangan jemaah maka semakin besar pahala yang diperolehi.

Dari Imam al-Bukhari dan Muslim, penting dan dituntut akan solat berjemaah itu sehingga Rasulullah s.a.w pernah mengancam untuk membakar rumah orang lelaki yang meninggalkan solat secara berjemaah.

Terdapat banyak keistimewaan dan kelebihan solat berjemaah yang disediakan oleh Allah s.w.t antaranya;

#1 – Ganjaran Pahala Berlipat Ganda

Ganjaran pahala bagi solat berjemaah adalah lebih besar berbanding dengan solat secara bersendirian. Rasulullah s.a.w pernah bersabda bahawa pahala yang diperoleh oleh sesiapa yang solat berjemaah adalah sebanyak 27 kali ganda;

“Solat berjemaah melebihi solat bersendirian dengan 27 darjat (atau 27 kali ganda).”Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim

#2 – Terlepas Dari Api Neraka Dan Terhalang Menjadi Munafik

Rasulullah s.a.w pernah menjelaskan bahawa golongan yang berjemaah bersama-sama imam dari takbir pertama sehingga ke akhir solat, selama 40 hari dan niat kerana Allah s.w.t, golongan itu akan terselamat dari api neraka dan dari menjadi munafik.

“Sesiapa yang solat kerana Allah selama 40 hari dengan berjemaah dan mendapat takbir yang pertama. Ditulis bagi orang itu dua pelepasan, pelepasan daripada neraka, dan pelepasan daripada menjadi orang munafik.”

#3 – Mendapat Perlindungan Allah S.W.T Pada Hari Kiamat

Golongan yang mendirikan solat secara berjemaah dijanjikan oleh Allah s.w.t dengan perlindungan pada hari kiamat kelak.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

“Tujuh golongan manusia yang mendapat perlindungan dari Allah pada hari yang tiada perlindungan kecuali dariNya, iaitu imam yang adil, pemuda yang hidup di dalam beribadah kepada Allah, seorang yang hatinya sentiasa ingat kepada masjid, dua orang yang berkasih sayang kerana Allah, berhimpun keranaNya dan berpisah keranaNya, seorang lelaki yang diajak oleh seorang wanita yang mempunyai kedudukan dan jelita (untuk melakukan maksiat) lalu dia berkata: ‘Aku takutkan Allah’, seorang yang bersedekah secara senyap-senyap sehingga tidak diketahui tangan kirinya apa yang dibelanjakan oleh tangan kanannya dan seorang yang mengingati Allah bersendirian sehingga berlinangan air kedua matanya.”

Oleh itu, golongan yang hatinya sentiasa teringat kepada masjid adalah mereka yang menunaikan solat berjemaah setiap waktu. Apabila keluar dari masjid hatinya akan sentiasa ingat untuk datang semula ke masjid bagi menunaikan solat berjemaah yang berikutnya.

#4 – Dinaikkan Darjat Oleh Allah

Sabda Rasulullah s.a.w;

“Tidakkah aku tunjukkan kamu sesuatu yang Allah menghapuskan dosa dan mengangkat darjat? Para sahabat menjawab, ‘Ya, wahai Rasulullah’, sabda Baginda: ‘Banyak langkah ke masjid dan menunggu satu solat selepas satu solat. Itu adalah ikatan’.”

Hal ini bermaksud, lebih banyak langkah ke masjid dan kelebihan menunggu satu solat selepas menunaikan satu solat, akan mendapat pahala dan darjat dari Allah S.W.T.

#5 – Diampunkan Dosa Oleh Allah S.W.T

Sabda Rasulullah s.a.w;

“Sesiapa yang berwuduk untuk mengerjakan solat lalu dia berwuduk dengan sempurna kemudian dia pergi ke masjid untuk solat fardhu kemudian dia pun bersolat berserta dengan orang ramai, atau berjemaah atau dalam masjid maka Allah mengampunkan untuknya dosa-dosanya.”

Maksud dosa ini ialah dosa-dosa kecil kerana dosa besar haruslah dimulai dengan bertaubat dan meminta keampuan dari Allah s.w.t.

#6 – Allah Memberikan Jaminan Syurga

Allah menjamin balasan syurga kepada sesiapa yang bersolat berjemaah di masjid.
Hal ini dijelaskan oleh Baginda dalam sabdanya yang bermaksud;

“Tiga golongan semuanya dijamin oleh Allah, seorang yang keluar berperang pada jalan Allah maka Allah jamin sehingga Allah mematikannya lalu dia masuk syurga atau dia kembali dengan memperolehi pahala dan harta rampasan perang. Seorang yang pergi ke masjid maka Allah jamin hingga Allah mematikannya lalu dimasukkan ke dalam syurga atau Allah mengembalikannya dengan mendapat pahala dan ghanimah dan seorang yang masuk ke rumahnya dengan memberi salam maka Allah jamin ke atasnya.”

#7 – Disediakan Hidangan Di Syurga

Setiap kali seseorang itu pergi dan balik dan balik dari masjid untuk berjemaah, Allah akan menyediakannya hidangan di syurga. Sabda Rasulullah s.a.w;

“Sesiapa yang pergi ke masjid dan balik (dari masjid), Allah sediakan baginya hidangan dari syurga setiap kali dia pergi dan balik.”

#8 – Mendapat Cahaya Di Hari Kiamat

Pasti tiada kegelapan di hari akhirat kelak bagi mereka yang sentiasa menjadikan jemaah sebagai amalan. Sabda Rasulullah s.a.w;

“Hendaklah bergembira orang-orang yang berjalan kaki dalam gelap menuju ke masjid mereka akan mendapat cahaya cukup sempurna pada hari Kiamat.”

#9 – Menunggu Solat Jemaah Dikira Sebagai Mengerjakan Solat

Hal ini masih ramai yang belum ketahui, iaitu walaupun hanya menunggu untuk solat berjemaah, Allah telah mengira ianya sebagai pahala solat, di samping para malaikat berdoa untuknya. Ini disampaikan oleh Baginda dalam sabdanya yang bermaksud;

“Seseorang hamba Allah itu dikira dalam solat selama dia berada di tempat solatnya kerana menunggu solat, dan berkata Malaikat: ‘Ya Allah, ampuni dosanya dan rahmatilah dia sehingga dia beredar atau dia berhadas’.”

#10 – Pahala Seperti Mengerjakan Haji

Sabda Rasulullah s.a.w;

“Siapa yang keluar dari rumahnya dengan keadaan bersuci menuju kepada solat fardhu maka pahalanya seperti pahala orang haji yang berihram dan sesiapa yang keluar hanya semata-mata untuk tasbih al-Duha maka pahalanya seperti pahala orang yang mengerjakan umrah. Satu solat selepas satu solat, tiada melakukan perkara sia-sia di antara kedua-duanya ditulis pada kalangan orang yang mempunyai kedudukan yang tinggi.”

Jelaslah, solat berjemaah sangat disukai Allah s.w.t, dan kerana itu Allah memberikan pelbagai kelebihan dan fadhilat yang besar kepada hamba-hamba yang mengerjakan solat berjemaah.

Ayuhlah kita merebut peluang ini untuk memperoleh ganjaran Allah yang tak ternilai ini.

Komen


Berita Berkaitan