Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,645

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

10 Kawasan Pelancongan Di Sabah Akan Diwarta Tapak Warisan Negara

6:36pm 30/03/2016 Pak Roshan 88 views Mutakhir,Sandakan,Tempatan

batu-tulug

KINABATANGAN : Sebanyak 10 kawasan pelancongan di Sabah akan diwartakan sebagai Tapak Warisan Negara, kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Beliau berkata kawasan itu adalah Tapak Arkeologi Agop Batu Tulug Kinabatangan, Taman Negara Kinabalu, Taman Arkeologi Bukit Tengkorak Semporna, Taman Laut Pulau Sipadan dan Lembangan Maliau.

Lokasi lain ialah kawasan Pemuliharaan Lembah Danum, Pusat Pemuliharaan Orang Utan Sepilok, Sanktuari Hidupan Liar Kinabatangan, Taman Pulau-Pulau Penyu dan Taman Laut Tunku Abdul Rahman.

Beliau berkata kawasan itu akan diwartakan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645).

Sehingga kini, sebanyak 12 warisan negeri Sabah membabitkan permainan, pakaian, makanan tradisi dan tarian di negeri ini telah diwartakan sebagai Warisan Kebangsaan, katanya ketika melakukan lawatan ke Tapak Arkeologi Agop Batu Tulug dekat sini, semalam.

Mohamed Nazri berkata pengiktirafan pada peringkat nasional terhadap 10 kawasan berkenaan penting sebelum semua kawasan itu dicalonkan sebagai Tapak Warisan Dunia di bawah UNESCO.

Beliau berkata kementeriannya melalui Jabatan Warisan Negara dan kerajaan negeri Sabah melalui Taman-Taman Sabah juga kini sedang menilai Lembah Danum, Maliau Basin dan Imbak Canyon yang berpotensi dicalonkan sebagai Tapak Warisan Dunia.

Mengenai Tapak Arkeologi Agop Batu Tulug, Mohamed Nazri berkata kawasan berkenaan merupakan bukti tapak pengebumian masyarakat terdahulu yang menggunakan keranda diperbuat daripada kayu balak.

Dipercayai terdapat lebih 2,000 keranda ditempatkan di dalam gua-gua di sekitar Lembah Kinabatangan, katanya.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan