Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,658

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

10 Bekal Dakwah Dalam Ibadah Puasa

4:45pm 11/06/2016 Zakir Sayang Sabah 39 views i-Muslim
Gambar Hiasan

Gambar Hiasan

“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan keatas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa” (Albaqarah: 183)

Ibadah puasa merupakan satu ibadah yang penting dan ia menjadi bekal kepada para daie dalam meneruskan perjalanan dakwah.

Kata Sheikh Mustafa Masyur di dalam bukunya Fiqh Dakwah beliau menyatakan “Muslim yang benar dalam keislamannya akan menyambut kedatangan bulan Ramadhan dengan gembira dan bahagia, sebagaimana kegembiraan kaum mukmin dengan karunia dan rahmat Allah. Ia beristirahat sejenak dari kepenatan hidup, berbekal, dan memperbaharui semangatnya untuk meneruskan perjalanan dakwah. Namun tiada yang dapat menikmati kebaikan tersebut dan memperoleh bekal tersebut kecuali orang hidup bersama Ramadhan dan menunaikan puasa seperti yang diajarkan oleh Rasulullah SAW”.

Di sana terdapat pelbagai bekal dakwah yang dapat diperolehi melalui ibadah puasa antaranya:

  1. Bekal Alquran. Pada bulan Ramadhan, kita lebih bersemangat untuk membaca, mengkaji, menghafal dan mengamalkan Alquran. Di samping itu kita dapat meneguk hikmah, hidayah, ibrah dan sebagainya untuk menghidupkan hati kita yang kering. Ini adalah sebenar-benar bekal untuk seorang dai. Alquran sebagai bekalnya dalam menghadapi mehnah dan tribulasi dalam dakwah. Alquran menjadi tempat rujukannya untuk melalui jalan dakwah.
  2. Bekal solat malam. Orang yang berpuasa melakukan solat malam selama sebulan penuh, ini adalah bekalan yang tidak terhingga, ia dapat mendidik jiwa, merasai kenikmatan berhubung secara langsung dengan Allah disepertiga malam, mengadu dan merintih kepadaNya.
  3. Bekal Iktikaf. Bulan Ramadhan adalah bulan yang Rasulullah SAW melazimi iktikaf. Iktikaf memiliki pengaruh dan kesan yang amat mendalam pada jiwa. Orang yang beriktikaf menjadi tetamu Allah di rumahNya, meninggalkan seketika kesibukan dunia semata-mata untuk fokus beribadat kepada Allah, mendekatkan diri kepadaNya, berzikir, bermunajat dan menangis kerana takit pada Allah. Allah memuliakan para tetamuNya, sehingga mereka keluar dari Ramadhan dengan membawa bekal taqwa, keimanan dan petunjuk.
  4. Bekal Ikhlas. Puasa membimbing pelakunya untuk sentiasa mengikhlaskan niat kepada Allah. Dan keikhlasan menjadi bekal yang signifikan oleh setiap individu yang menapaki jalan dakwah kerana amal akan menjadi sia-sia tanpa keikhlasan.
  5. Bekal mujahadah. Dalam puasa kita akan menghadapi saat mujahadah terhadap keinginan nafsu kita. Mujahadah adalah bekal penting bagi seorang dai yang berjuang di jalan Allah. Orang yang berpuasa mengekang nafsu liar dalam jiwa mereka dan hal itu dapat membantunya untuk menghindari yang diharamkan pada bulan-bulan berikutnya.
  6. Bekal sifat sabar. Ibadah puasa akan membangunkan sifat sabar dalam diri muslim. Kesabaran merupakan sifat yang paling penting oleh para daie kerana dengan sifat itulah mereka dapat mengatasi rintangan dan meneruskan perjalanan dalam jalan dakwah tanpa kelemahan dan kelesuan.
  7. Bekal sifat santun. Puasa dapat membentuk sifat santun (tidak mudah marah) dalam diri muslim. Apabila ada yang menentangnya, mencelanya, maka dia menahan amarahnya dan mengatakan “sesungguhnya aku sedang berpuasa”. Alangkah pentingnya sifat ini kepada para aktivis dakwah, pengendalian jiwa yang baik, berlapang dada dan tidak mudah marah kerana inilah menjadi penyebab keberhasilan dakwah.
  8. Bekal mengasihi yang lain. Puasa akan mendidik hati untuk mengasihi orang lain terutamanya golongan fakir miskin. Kewajipan zakat fitrah di akhir Ramadhan menegaskan makna ini. Saat berpuasa kita akan merasai betapa peritnya apa yang dihadapi oleh orang miskin dan kita akan lebih mengasihi mereka dengan sedekah yang kita hulurkan kepada mereka yang memerlukan. Ini bekalan penting dalam dakwah.
  9. Bekal ketahanan fizikal. Puasa, terutamanya pada musim panas menyebabkan muslim perlu bersabar dan tahan ujian di medan jihad atau peperangan dan melawan musuh. Kita kembali menyelak lembaran sejarah bahawa Perang Badar juga berlaku dalam bulan Ramadhan dan bekal puasa menyebabkan mereka kuat dan thabat dalam menentang kaum musyrikin.
  10. Bekal disiplin dengan masa. Puasa membiasakan muslim untuk disiplin waktu, kerana setiap orang yang berpuasa akan memerhatikan waktu berbuka dan waktu imsak. Para dai sangat memerlukan bekalan ini untuk menjadikan mereka berdisplin dengan masa kerana kehidupan para dai penuh dengan pertemuan, mesyuarat, dan sebagainya yang memerlukan para dai untuk sentiasa menepati waktu dan menguruskan masa dengan sebaiknya. Melalui ibadah puasa, ia secara automatik membentuk peribadi muslim yang bijak menguruskan masa.

Semoga dengan bekalan yang kita perolehi daripada ibadah puasa ini, memudahan untuk kita menempuhi jalan dakwah ini.

Jalan dakwah kita masih panjang dan semoga syurga menjadi pengakhirannya.

Selamat Menyambut Ramadhan 1437H!

*artikel ini diadaptasi daripada Buku Fiqh Dakwah, Sheikh Mustafa Masyur tajuk Dalam Ibadah Puasa Terdapat Bekal Dakwah, ms 64.

Penulis

Nik Fatma Amirah Bt Nik Muhamad

Penulis merupakan mahasiswi Sarjana Bahasa Arab, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Penulis yang cukup menggemari Nasi Arab Mandy (Kambing) ini dalam masa yang sama merupakan aktivis IKRAM Siswa & aktivis program ASEAN Young Leaders Forum (AYLF) dan aktivis Genorator.

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan