Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

1 Mac Kekal Jadi Sejarah Hitam Sabah

Insiden pencerobohan Tanduo Lahad Datu

1 Mac Kekal Jadi Sejarah Hitam Sabah

Sekadar Gambar Hiasan

Tanggal 1 dan 2 Mac 2013 akan kekal dalam sejarah negara sebagai detik hitam yang menyaksikan kedaulatan negara dicabar dan lapan wira tanah air gugur mempertahankannya.

Pada tarikh itu bumi Lahad Datu dan Semporna, Sabah, bermandi darah apabila senjata api kumpulan penceroboh dari selatan Filipina memuntahkan peluru menembusi tubuh anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika mereka memburu pengganas yang mendakwa daripada kesultanan Sulu.

Kumpulan itu dikenal pasti pengikut Jamalul Kiram III yang mendakwa dia waris sah kesultanan Sulu, menceroboh dan mendarat di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada 12 Feb bagi merampas kembali wilayah mereka di pantai timur Sabah tersebut.

Pencerobohan kumpulan pengganas itu turut mengorbankan dua anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Sebanyak 68 anggota militan maut dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan negara.

Dua hari selepas kira-kira 120 pengganas itu mendarat di Kampung Tanduo, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dilapor berkata kerajaan Malaysia akan melakukan yang terbaik termasuk melalui perundingan bagi menangani isu berkenaan.

Toleransi Malaysia jelas terbukti kerana tetap berunding dan “berlembut” dengan kumpulan itu yang enggan berganjak sekalipun tempoh mereka diminta meninggalkan Malaysia berakhir pada 26 Feb.

Tiga hari kemudian pada hari Jumaat, bumi Kampung Tanduo dibasahi darah apabila tercetus pertempuran antara pasukan polis dan pengganas yang mengorbankan dua anggota komando polis VAT 69, Insp Zulkifli Mamat dan Koperal Sabaruddin Daud.

Pertempuran itu juga meragut nyawa 12 pengganas.

Keesokannya, enam lagi anggota polis gugur dalam serangan hendap di perkampungan air Kampung Simunul, Semporna. Kejadian jam 8 malam itu turut membunuh enam anggota pengganas.

Tersentak dengan keganasan yang dipamer oleh kumpulan militan itu, Perdana Menteri mahu gerakan ofensif besar-besaran dilancar, dan pada 5 Mac pasukan keselamatan negara menggempur kubu mereka dengan serangan udara dan darat menerusi Ops Daulat.

Pada masa yang sama, kerajaan Malaysia sedar ramai penduduk Sabah ialah etnik Suluk dan pada 7 Mac Najib tiba di negeri itu dan bertemu dengan pemimpin komuniti berkenaan bagi menyatakan kerajaan tidak sangsi akan kesetiaan mereka kepada negara.

Dalam sidang media sempena lawatannya itu Najib juga mengumumkan penubuhan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) yang merangkumi daerah Kudat, Tawau, Kunak, Sandakan dan Lahad Datu.

 Ini disusuli dengan penubuhan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) sebagai landasan perundangan kepada ESSCOM.

Ops Daulat turut menyaksikan penangkapan beberapa individu yang didapati bersekongkol dengan kumpulan pengganas terbabit selain anggota militan itu sendiri yang keluar daripada persembunyian selepas digempur.

Pada 21 Mac, lapan rakyat Filipina dihadapkan ke mahkamah dan berdepan hukuman mati serta penjara seumur hidup atas tuduhan melancarkan perang ke atas Yang di-Pertuan Agong dan menganggotai kumpulan pengganas.

Sehingga tarikh itu juga 443 orang dilapor ditahan kerana memasuki zon merah kawasan Ops Daulat dan pelbagai kesalahan manakala 173 ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Sebagai menghargai pengorbanan wira-wira yang gugur, Perdana Menteri mengumumkan kenaikan pangkat kepada mereka.

Insp Zulkifli dinaikkan pangkat kepada ASP dan Sabaruddin kepada Sarjan. Enam lagi ialah Supt Ibrahim Lebar (ACP), ASP Michael Anak Padel (DSP), Sarjan Abdul Aziz Sarikon (Sarjan Mejar), Lans Koperal Mohd Azrul Tukiran (Koperal), Sarjan Baharin Hamit (Sarjan Mejar) dan Koperal Salam Tugiran (Sarjan).

Dua anggota ATM yang terkorban iaitu Prebet Ahmad Hurairah Ismail, 24, yang gugur semasa pertempuran dan Prebet Ahmad Farhan Ruslan, 21, yang meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya, masing-masing dinaikkan pangkat Koperal.

Perdana Menteri menyifatkan pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu sebagai peristiwa yang bukan sahaja membuka mata kerajaan, tetapi juga seluruh rakyat Malaysia, terutama di Sabah, tentang betapa pentingnya meningkatkan persiapan untuk menghadapi ancaman luar.

SEDEKAH AL-FATIHAH kepada perajurit yang terkorban

Komen


Berita Berkaitan